ISKANDAR PUTERI – Johor meraih pelaburan komited sebanyak RM14.23 billion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bermula Januari hingga Jun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM 3.347 bilion (23.5 peratus) adalah daripada sektor pembuatan, manakala RM10.884 bilion (76.5 peratus) daripada sektor perkhidmatan.
“Menerusi pelaburan itu, jumlah projek yang diluluskan adalah 422 yang dijangka dapat mewujudkan 6,898 peluang pekerjaan.Mengikut tren kemasukan pelaburan, Johor opstimistik dan menjangkakan sektor pelaburan akan terus berkembang dengan pesat dan ia akan dicerminkan dalam statistik penuh tahun 2023.
“Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Johor antara negeri yang menyaksikan peralihan atau penstrukturan rantaian bekalan atau perindustrian di rantau ini akibat tren perang perdagangan Amerika Syarikat – China.
“Justeru itu, Invest Johor telah membentangkan beberapa sektor fokus negeri agar mendapat perhatian dan sokongan insentif daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya semasa sesi penggulungan Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Kota Iskandar hari ini.
Antara sektor terlibat adalah sektor Elektrikal dan Elektronik, Sains Hayat dan Teknologi Perubatan,Pembuatan dan Kejuruteraan Termaju, Ekonomi Digital, Ekonomi Hijau, Halal, Automotif (EV), Aeroangkasa, Kimia dan Petrokimia, dan Pelabuhan dan Logistik, termasuk Ekonomi Digital dan Aeroangkasa.
Menurut Ting Han, pihaknya juga mensasarkan lebih banyak prospek pelabur akan meneroka peluang perniagaan, dalam sektor tenaga hijau susulan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Usaha itu dilihat hasil kejayaan dalam penganjuran Asia Pacific Climate Week 2023 yang melibatkan lebih 3,800 wakil dari 108 negara.
“Saya dan Pengerusi ‘Johor Sustainability Centre Datuk Hasni Mohamad akan hadir ke Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau 28th Conference of Parties di Dubai dan akan mengambil kesempatan ini untuk menarik pelaburan dalam sektor ini,” katanya.
Dalam masa sama, ADUN Paloh itu menjelaskan ,Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) akan menjalankan kajian semakan semula Pelan Induk Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) bagi memastikannya kekal relevan.
Kajian berkenaan melibatkan pendekatan terhadap komponen-komponen baharu dalam bidang peralihan tenaga serta memberi tumpuan kepada industri kimia dan petrokimia.
“Langkah ini adalah penting kerana PIPC juga sudah mula menerima ‘investment interest’ daripada industri-industri yang menekankan elemen Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) global dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),”katanya.-MalaysiaGazette