Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Undang-undang sedia ada di negara sudah mencukupi bagi menangani pembinaan bangunan tambahan tanpa izin, kata Nga Kor Ming.

Memberitahu Dewan Rakyat, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu berkata, antara akta yang boleh digunakan adalah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Soalnya adalah tentang penguatkuasaan undang-undang. Setiap pembinaan perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mana-mana pembinaan tambahan struktur yang boleh mengundang risiko bahaya kebakaran, boleh diambil tindakan di bawah Akta Bomba.

“Setiap kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000, penjara tiga tahun dan sekiranya kesalahan itu berterusan setiap hari, dendanya boleh digandakan RM100 setiap hari,” katanya di Dewan Rakyat.

Kor Ming berkata demikian menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu mekanisme pemantauan digunakan oleh pihak kementerian terhadap pembinaan bangunan tambahan bagi mengelakkan risiko kebakaran dan ancaman keselamatan terhadap penduduk sekitar.

Afnan Hamimi turut bertanya adakah pihak kementerian bercadang mewajibkan penghuni atau pemilik bangunan untuk mengikuti kursus berkaitan undang-undang.

Kor Ming berkata, pihaknya juga sentiasa komited bagi memastikan bangunan dan rumah yang didiami oleh penduduk berada dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata satu kenyataan media akan dibuat minggu hadapan mengenai pemilik premis yang mengubah suai ruang premis untuk disewakan dalam keadaan sempit seolah-olah seperti ‘bilik liang lahad’ atau ‘bilik sangkar burung’.

“Satu kenyataan media akan dibuat minggu hadapan (mengenai premis liang lahad),” katanya ringkas.

Pertengahan Oktober lalu, Kor Ming berkata KPKT akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang dengan sengaja mengubah suai ruang premis untuk disewakan dalam keadaan sempit.

Beliau juga berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia disifatkan sebagai tidak kondusif dan tidak berperikemanusiaan, malah dikhuatiri mengundang risiko mengancam keselamatan serta kesihatan mental ke atas penyewa. – MalaysiaGazette