Zambry Abd Kadir
Zambry Abd Kadir (tengah) ketika membahaskan mengenai situasi di Asia Barat termasuk Palestin pada sidang Majlis Keselamatan PBB di New York, Amerika Syarikat semalam.

NEW YORK – Malaysia membantah hasrat rejim Zionis Israel untuk mewujudkan ‘zon selamat’ di Al-Mawasi, selatan Gaza yang secara terangan-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.

Pendirian tegas kerajaan itu dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam perbahasan mengenai situasi di Asia Barat termasuk Palestin pada sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, semalam.

“Malaysia membantah tindakan mengusir rakyat Palestin secara paksa, di mana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Malaysia sangat bimbang dengan hasrat Israel untuk mewujudkan apa yang dinamakan ‘zon selamat’ yang telah ditolak oleh PBB dan agensi kemanusiaan yang lain,” katanya.

Rancangan rejim Zionis Israel untuk menempatkan kira-kira 2.2 juta pelarian dari utara Gaza di Al-Mawasi sebelum ini turut dibantah oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Zambry berkata, Majlis Keselamatan PBB mesti melaksanakan tanggungjawabnya dan mengambil segala langkah yang perlu bagi merealisasikan penyelesaian dua negara melibatkan Palestin dan Israel.

Menurut beliau, penyelesaian tersebut mendapat sokongan padu daripada masyarakat antarabangsa dan diiktiraf oleh pelbagai resolusi PBB.

“Kitaran keganasan terhadap rakyat Palestin yang berlaku sejak sekian lama mesti dihentikan. Mereka mesti dikeluarkan daripada situasi gelap ketika ini untuk masa depan yang lebih cerah.

“Terlalu banyak masa telah dibazirkan dan terlalu banyak nyawa yang tidak berdosa telah terkorban,” jelasnya.

Zambry memberitahu, Majlis Keselamatan PBB telah berulang kali mengecewakan rakyat Palestin dan kini tiba masanya untuk badan tersebut melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau menambah, Majlis Keselamatan PBB perlu memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar sehingga menyebabkan berlaku salah satu tragedi paling berdarah dalam sejarah dunia moden selama lebih tujuh dekad.

“Ini adalah mesej yang jelas, bukan sahaja daripada rakyat Malaysia, tetapi juga daripada seluruh warga dunia yang mencintai keamanan,” katanya. – MalaysiaGazette