Raja Mohamed Affandi
Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor beramah mesra dengan peniaga di Pasar Binjai pada kempen PRK Parlimen Kemaman di Chukai, Terengganu, baru-baru ini.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Sabtu ini merupakan medan tempur yang penting bagi Barisan Nasional (BN) untuk kembali bertapak di bumi Terengganu.

BN tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan gagal memenangi walau satu daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 12 Ogos lalu.

Melihat kepada keputusan pilihan raya sebelum itu, Kemaman boleh dianggap sebagai kubu kuat dan kerusi tradisi UMNO.

Di bawah tiket Perikatan, UMNO menyandang kerusi tersebut mulai PRU1 hingga PRU3, kemudian diteruskan di bawah tiket BN mulai PRU4 hingga PRU9.

PKR berjaya merampas kerusi Parlimen Kemaman pada PRU10 namun Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengembalikannya semula ke tangan BN pada PRU11 serta mempertahankannya selama tiga penggal.

Keputusan PRU14 memihak kepada calon Pas, Che Alias Hamid dan beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman sekali lagi pada PRU15 sebelum kemenangannya dibatalkan oleh mahkamah.

Kali ini, BN memberi kepercayaan kepada bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk menggalas misi menawan semula Kemaman.

Tugas beliau bukan mudah kerana perlu menewaskan ‘panglima’ Pas di Terengganu iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selain berdepan dengan kekuatan jentera Pas di negeri berkenaan.

Tambahan pula, sebagai seorang bekas pegawai kanan tentera, bidang politik dan gerak kerja pilihan raya bagi memenangi hati pengundi merupakan sesuatu yang amat asing bagi Raja Mohamed Affandi.

Ahmad Samsuri pula dilihat mempunyai kelebihan berbanding lawannya kerana beliau telah lama bergiat secara aktif dalam politik kepartian malah ‘berguru’ secara langsung dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Kedudukan Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar dan Naib Presiden Pas memberi kelebihan untuk menarik keyakinan pengundi di kawasan Parlimen Kemaman untuk memilihnya mewakili mereka di Dewan Rakyat.

Namun, itu tidak bermakna Raja Mohamed Affandi boleh dipandang sebelah mata kerana tidak mustahil beliau mampu mencipta kejutan Sabtu ini.

Sebagai muka baharu, beliau tidak membawa bersama ‘beban’ atau isu-isu yang menyebabkan pengundi menolak BN dan UMNO pada PRU-15 dan PRN Terengganu.

Raja Mohamed Affandi juga bukan tokoh yang asing di Kemaman dan keperibadian beliau disenangi oleh masyarakat setempat.

Sekiranya beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman, ia boleh dianggap sebagap satu pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanannya selama 44 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Laluan Raja Mohamed Affandi ke Parlimen sememangnya agak getir namun tidak mustahil beliau mampu menjayakan misi menumbangkan gergasi di Kemaman. – MalaysiaGazette