KUALA LUMPUR – Polis tidak akan mendedahkan identiti individu yang disebutkan sebagai Mr H yang disiasat dalam kes membabitkan bekas Ketua Pengarah, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, pendedahan identiti Mr H dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Bukit Aman.
“PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah memanggil semula Mr H pada hari ini (30 November) bagi tujuan sambung semula rakaman percakapan daripadanya.
“Setakat ini dalam kes berkenaan pihak polis sudah memanggil dan mengambil keterangan daripada lapan individu bagi membantu siasatan lanjut kes ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Satu rakaman video berdurasi tiga minit yang tular sejak 17 November lalu menjadi topik hangat di laman media sosial, berikutan terdapat individu mirip Mohammad Agus berbual lucah dengan seorang lelaki.
Susulan itu, Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan beliau adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.
Pada sidang media yang diadakan itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video itu, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani mendakwa beliau dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H. – MalaysiaGazette