Anwar Ibrahim tiba di Surau Putra Al-Amin Fasa 4C, Presint 8, Putrajaya untuk solat Jumaat.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah di Surau Putra Al-Amin, Presint 8, di sini.

Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan kira-kira pukul 12.55 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan beberapa kenamaan lain.

Sebaik tiba, Anwar sempat menyantuni jemaah sebelum bersama jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Memaknakan Kekayaan Dengan Berzakat’ yang disampaikan
Ustaz Amirul Aqif Ismail.

Isi khutbah antara lain mengingatkan semua supaya melunaskan kewajipan menunaikan zakat khususnya zakat pendapatan sebelum berlabuhnya tirai tahun ini.

Khatib turut mengingatkan bahawa zakat pendapatan mestilah dibayar di tempat di mana kita berkhidmat dan mencari rezeki.

“Ibadah zakat seperti zakat firah, zakat harta dan zakat pendapatan bukan sahaja salah satu bentuk penyucian jiwa dan harta bahkan ia berupaya memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang di antara golongan kaya dan miskin.

“Kikislah sifat bakhil di dalam diri dan tingkatkan kepekaan kita terhadap masyarakat di sekeliling kita agar mereka yang memeriukan dapat terus dibantu melalui zakat yang kita keluarkan,” katanya.

Anwar bersama jemaah lain turut mengaminkan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan umat Islam di Palestin.

Selesai solat, Anwar turut meluangkan masa kira-kira 20 minit menjamu selera di pekarangan surau termasuk beramah mesra dengan jemaah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast