Anwar bersalam dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia, Alor Setar sebelum ini.

KUALA LUMPUT – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhmamad Sanusi Md Nor tidak terlibat dalam mesyuarat pre-council bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di Hotel Raia, Alor Setar.

Kementerian Luar dalam kenyataan satu muka surat berkata, surat bertarikh 25 November yang diberikan kepada Ketua Setiausaha Sulit Sanusi hanyalan jemputan untuk menyertai Anwar bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin ke ICQS Bukit Kayu Hitam.

“Apabila Menteri Besar Kedah mengambil keputusan untuk turut hadir ke mesyuarat pre-council ini, perdana menteri telah menyediakan kerusi untuk beliau.

“Menteri Besar Kedah juga tidak terlibat dalam lawatan ke Sadao, Thailand. Tetapi bagi memenuhi permintaan beliau di saat akhir, perdana menteri telah bersetuju mengizinkan beliau menyertai delegasi rasmi Perdana Menteri,” kata kementerian itu.

Bagaimanapun bagi memenuhi permintaan Sanusi di saat-saat akhir, Anwar telah bersetuju agar menteri besar Kedah itu menyertai delegasi rasmi dalam lawatan ke Sadao.

“Kenyataan ini dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenarnya iaitu Kementerian Luar Negeri dan Perdana Menteri telah memberikan pertimbangan khas kepada Menteri Besar Kedah,” jelasnya.

Sanusi kelmarin mendakwa dia tidak diberikan kerusi ketika mesyuarat di Alor Setar sebelum mengiringi perdana menteri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke Sadao.

Sanusi membangkitkan perkara dalam sidang DUN Kedah dengan menyuarakan isu ‘Little Napoleon’ yang menurutnya cuba mengeruhkan hubungannya dengan Anwar.

Menurutnya, walaupun perbincangan itu berkaitan dengan tanah yang berada di bawah kuasa negeri, dia tidak diberi tempat untuk turut serta sehinggalah Anwar meminta dia diberikan kerusi.

“Saya berdiri sebab tak ada kerusi, tapi saya ucap terima kasih kepada perdana menteri yang nampak saya berdiri lama dan dia minta saya diberikan kerusi.

“Saya bukan rasa terhina tapi nak maklumkan bahaya permainan ‘Little Napoleon’ yang mencatur hubungan pemimpin supaya berlaku pertembungan, pergaduhan dan tak puas hati,” katanya. – MalaysiaGazette