Kes lelaki lompat dan maut dilanggar LRT di Dato Keramat diklasifikasikan polis sebgai laporan mati mengejut.Ihsan IPD Wangsa Maju

KUALA LUMPUR – Polis mengklasifikasikan kes seorang lelaki yang maut selepas terjatuh di landasan sebelum dirempuh oleh Aliran Transit Ringan (LRT) di Dato’ Keramat malam tadi sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pada 1 Disember lalu jam lebih kurang 10,56 malam pihak polis telah terima panggilan telefon daripada polis bantuan LRT tersebut mengenai tragedi tersebut.

Pengadu melaporkan seorang lelaki tempatan telah melompat ke landasan stesen LRT Dato’ Keramat.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis bergegas ke loksi kejadian sebelum siasatan mendapati lelaki tersebut bersama penumpang lain sedang menunggu LRT di platform 1.

“Ketika tren hendak berhenti, tiba-tiba mangsa telah melompat dan baring di landasan sebelum tren LRT tersebut merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Tambah beliau, mangsa yang terpelosok di bawah tren, cedera parah pada kedua-dua belah kaki.

“Pihak Bomba cuba untuk mengalihkan mangsa yang mendapati telah
meninggal dunia di lokasi kejadian tersebut.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan
pada jam 11.13 malam tadi di lokasi.

“Mangsa dibawa ke hospital untuk tujuan proses bedah siasat,” ujarnya. – MalaysiaGazette