SEorang ejen insurans maut digilis treler selepas dipercayai melanggar lampu isyarat merah menunggang motosikal dalam kejadian di Kilometer 6 Banting-Dengkil semalam.Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penunggang motosikal yang melanggar isyarat lampu merah berakhir dengan tragedi apabila nyawanya melayang digilis sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kejadian menyayat hati itu menimpa mangsa lebih kurang 6 petang di Banting, semalam.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha NVX dengan treler jenis Volvo di Kilometer 6 Jalan Banting-Dengkil.

“Semasa kejadian, ejen insurans yang berusia 32 tahun itu dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke arah Banting manakala treler berkenaan datang dari Banting menuju ke Bandar Mahkota.

“Apabila sampai di lokasi kemalangan, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai melepasi laluan tanpa mematuhi lampu isyarat berwarna merah di persimpangan jalan lalu melanggar bahagian tepi kiri treler yang sedang masuk ke simpang kanan di jalan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, akibat perlanggaran kuat itu, mangsa bersama motosikal tercampak dan termasuk ke bawah treler lalu digilis tayar bahagian belakang kiri kenderaan berat itu.

Katanya lagi, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian tersebut.

“Manakala dua lagi individu berumur 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Polis juga meminta mana-mana saksi yang melihat kemalangan ini menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Kuala Langat Inspektor Keisha Nur Azalea Betty Saran di talian 011-6262 2972) atau 03-3187 2222 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.