KUALA LUMPUR – Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives diunjur diniagakan rendah minggu depan disebabkan kebimbangan terhadap inventori yang tinggi.
Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata, stok minyak sawit Malaysia berjumlah sekitar 2.4 juta tan metrik (setakat akhir bulan Oktober) manakala Indonesia mencatatkan sekitar lima juta tan metrik dan lebihan stok telah memberi tekanan kepada harga.
“Data inventori untuk November dijangka dikeluarkan (oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia) pada pertengahan Disember…mungkin kita akan lihat sama ada trend akan berubah selepas itu,” katanya kepada Bernama.
Paras sokongan bagi MSM adalah pada RM3,450 satu tan metrik dan rintangan pada RM3,550 satu tan metrik, katanya.
Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, pasaran MSM tempatan didagangkan bercampur-campur seiring dengan pasaran komoditi serantau, harga minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago (CBOT) dan turun naik harga minyak mentah.
Berasaskan mingguan, Disember 2023 turun RM49 kepada RM3,733 satu tan metrik manakala Januari 2024 turun RM25 kepada RM3,825 setan metrik, manakala Februari 2024 merosot RM35 kepada RM3,864 satu tan metrik.
Mac 2024 berkurangan RM12 kepada RM3,897 satu tan metrik, April 2024 jatuh RM10 kepada RM3,895 setan metrik dan Mei 2024 menguncup RM5 kepada RM3,878 satu tan metrik.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 238,225 lot daripada 199,846 lot minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka merosot kepada 208,661 daripada 211,241 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan susut kepada RM3,750 satu tan metrik pada Jumaat daripada RM3,800 setan metrik seminggu sebelumnya. – BERNAMA