KUALA LUMPUR – Baru dua jam hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Kemaman, peratusan keluar mengundi mencecah 18 peratus, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Peratus pengundi keluar mengundi bagi PRK Parlimen P.040 Kemaman, Terengganu sehingga jam 10 pagi 18 peratus,” kata SPR.
Peratus itu meningkat sekali ganda sejak jam 9 pagi tadi selepas pintu 49 pusat mengundi dengan 244 saluran dibuka jam 8 pagi tadi.
Sebanyak 2,102 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dilantik bagi mengendalikan proses pengundian berkenaan yang membabitkan 141,043 pengundi.
PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Pas.
PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid, pada PRU15. – MalaysiaGazette