Aminuddin Awang

KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa kerajaan menyelesaikan beberapa masalah kritikal berkaitan pengoperasian di sekolah rendah, termasuk menangani isu kekurangan guru di sekolah-sekolah.

Menurut Presidennya, Aminuddin Awang, isu kekurangan guru boleh ditangani melalui pengambilan tetap atau Contract of Service (COS).

Beliau turut menggesa kerajaan mengekalkan dan menambah baik kenaikan pangkat guru secara time-based dalam sistem perkhidmatan awam dalam skim saraan baru tahun 2025.

“Laluan kenaikan pangkat guru secara time-based 8, 8, 6, 3 (tahun) dan 8, 8, 5 dikekalkan atau ditambahbaik dalam sistem perkhidmatan awam negara kita,” katanya menerusi kenyataan sempena Persidangan Perwakilan TriTahunan Kali Ke-23 NUTP Malaysia yang berlangsung dua hari bermula Khamis lalu.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu membenarkan guru besar gred DG 52 memegang jawatan sehingga DG54 tanpa diturunkan pangkat.

“Masalah sekarang adalah guru besar yang naik ke gred DG 52 secara time-based akan diturunkan sebagai guru biasa kerana had maksimum gred jawatan Guru Besar adalah DG 52,” tambah beliau.

Selain itu ujar Aminuddin, guru penolong (guru biasa) di sekolah rendah yang telah berada di gred DG 48 perlu dibenarkan memegang jawatan sebagai penolong kanan.

“Guru-guru sekolah rendah yang telah berada di gred DG 48 tidak dibenarkan memegang jawatan sebagai Penolong Kanan, bahkan Guru Penolong Kanan yang dilantik sebagai Penolong Kanan semasa masih di gred DG 42 atau DG 44 dan sekarang naik ke gred DG 48 pun dibekukan pergerakan untuk bertukar daripada Penolong Kanan Kokurikulum kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, bahkan tidak dibenarkan bertukar sekolah pun.

“Mempercepat pelaksanaan Warden Asrama Sekolah Berasrama secara sepenuh masa bagi mengurangkan beban tugas guru dan mengekang gejala buli di sekolah berasrama,” jelasnya.

Tambahnya, NUTP meminta supaya kerajaan memberi peruntukan kepada pihak sekolah untuk menaik taraf bilik guru di semua sekolah seluruh negara.

Aminuddin berkata, pemberian RM70,000 sebelum ini hanyalah untuk menaik taraf dan penyelenggaraan sekolah.

Dalam masa yang sama katanya, NUTP berpendirian supaya kajian secara menyeluruh dilakukan terhadap kadar elaun pentadbir-pentadbir di institusi pendidikan diadakan.

“Contohnya kadar elaun Penolong kanan di sekolah rendah hanyalah RM60.00 sahaja berbanding tanggungjawab besar yang dipikul.

“Begitu juga dengan pentadbir-pentadbir institusi pendidikan lain seperti Pengarah, Timbalan Pengarah IPG, Kolej Matrikulasi yang langsung tidak ada sebarang elaun,” kata Aminuddin. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast