Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pas mendahului Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada jam 7 malam tadi, kata Datuk Asyaraf Wajdi Dusuki.

Menurut Setiausaha Agung UMNO itu, berdasarkan kiraan tidak rasmi, Pas mendahului kiraan undi pada 34 peti undi.

“Pas mendahului BN, pengiraan undi di 34/228 peti undi dengan majoriti 4,830 (majoriti Pas menang PRU15 27,179),” katanya menerusi hantaran Facebook.

Proses pengundian PRK Parlimen Kemaman berakhir jam 6 petang tadi dengan 49 pusat mengundi melibatkan 244 saluran ditutup, hari ini.

Semua kertas undi akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada jam 9 malam ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi yang direkodkan setakat 4 petang ialah 60 peratus daripada 141,043 pengundi berdaftar.

Pada PRK Kemaman, Barisan Nasional (BN) meletakkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon menentang calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, calon BN, Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias di Parlimen berkenaan dengan majoriti 27,179 undi, sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette