ALOR SETAR – Dua wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori tanah di Jalan Kolon, Pokok Sena, dekat sini, hari ini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata kejadian kira-kira 9.55 pagi itu mengakibatkan Romadiah Ismail, 65, dan Nadzifah Abu Seman, 28, yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bomba menerima panggilan berkaitan kemalangan itu pada 9.59 pagi, seterusnya tiga pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Pokok Sena serta Kuala Nerang digegaskan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan lori tanah 10 tan yang dipercayai terbabas sebelum merempuh Perodua Bezza, Perodua Axia dan Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata terdapat tiga mangsa tersepit di dalam Perodua Bezza dan Perodua Axia dan mereka berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
Menurut Ahmad Aminudin, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan.
Operasi berkenaan, katanya tamat sepenuhnya pada 12.07 tengah hari. – BERNAMA