Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Man pada sidang media bagi mendesak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz untuk meletakkan jawatan di Pusat Khidmat Adun Kuala Sepetang, Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 DISEMBER 2023.

BUKIT GANTANG – Perikatan Nasional (PN) Bukit Gantang mencabar Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal untuk bersemuka dengan pengundi di kawasannya dalam masa seminggu.

Timbalan PN Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Man berkata, ini berikutan kenyataan beliau yang memaklumkan hanya akan meletakkan jawatan jika semua pengundi di Parlimen Bukit Gantang menyatakan perkara itu kepadanya.

Menurutnya, menerusi kenyataan yang dikeluarkan Syed Hussin Abu dalam MalaysiaGazette baru-baru ini turut menyatakan jika ada pengundi yang mengantung kain rentang dan tidak mahu perkhidmatannya, beliau rela melepaskan jawatan.

“Bukan setakat pasang kain rentang, jika Syed Abu Hussin berani nyatakan tempat dan tarikh, kami akan membawa ribuan pengundi yang bersetuju untuk melepaskan jawatan kerana bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kita beri tempoh dalam satu minggu kepada Syed Abu Hussin untuk melepaskan jawatannya.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, maka kita akan mengadakan perhimpunan bersama pengundi Bukit Gantang pada Ahad depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas bagi mendesak Syed Abu Hussin untuk meletakkan jawatan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, ADUN Changkat Jering merangkap Yang Dipertua Pas Bukit Gantang, Rahim Ismail dan ADUN Trong merangkap Timbalan Yang Dipertua Pas Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Man pada sidang media bagi mendesak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz untuk meletakkan jawatan di Pusat Khidmat Adun Kuala Sepetang, Taiping. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 DISEMBER 2023.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, alasan pembangunan dan kemajuan pengundi Bukit Gantang sebagai memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri hanya ilusi untuk mengelabui mata rakyat.

“Nasihat saya kepada Datuk Syed Abu Hussin usah berselindung atas nama rakyat. Cukuplah sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerana itu keputusan beliau sebagai ahli Parlimen, jangan menjual nama rakyat untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Pada 28 November lalu, Syed Abu Hussin membuat pengumuman secara terbuka di Dewan Rakyat memberi sokongan terhadap kepimpinan perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia sekali gus memberi pelbagai tanggapan negatif terhadapnya dan tidak kurang mendakwa dirinya sebagai pengkhianat.– MG Perak