KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menzahirkan penghargaan kepada 27,778 pengundi yang memberikan sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, semalam.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku calon Pas kerana berjaya mengekalkan penguasaan parti itu di kerusi Parlimen berkenaan.
“Terima kasih juga kepada seluruh jentera Umno, BN dan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat bahagian, negeri dan seluruh negara yang bertungkus-lumus membantu berkempen untuk saya.
“Sesungguhnya, kita hanyalah berusaha dan selebihnya saya berserah kepada Allah SWT,” katanya dalam kenyataan.
Pas secara rasmi mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman selepas calonnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memenangi PRK Parlimen itu dengan majoriti 37,220.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bahagian Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), malam tadi.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab mengumumkan Ahmad Samsuri memenangi Parlimen Kemaman, sekali gus mempertahankan kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memperolehi 64,998 undi. Sementara, Raja Mohamed Affandi pula menerima 27,778 undi. -MalaysiaGazette