Tiong King Sing

PUTRAJAYA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan supaya menjaga mulut dengan tidak sesekali mengeluarkan kenyataan berbaur hinaan kepada mana-mana pihak.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tidak berguna bercakap mengenai perkara yang tidak sepatutnya hanya semata-mata mahu menjadikan ia sebagai bahan politik.

“Tak apalah, itu politik dia mau main dia main, itu tak mustahak bagi saya.

“Cuma kalau dia mahu minta pelancong datang dia punya negeri (Kedah) paling mustahak suruh dia jaga mulut sikit, itu saja. Kalau mulut tidak jaga, buat bukan-bukan tidak guna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama kerajaan Melaka bagi penganjuran program mega World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025, di sini, hari ini.

King Sing ditanya sama ada beliau akan memaafkan Muhammad Sanusi susulan kenyataannya yang menyifatkan beliau sebagai ‘Duduk di bawah pokok pisang seperti patung Buddha botak dengan perut besar’.

Muhammad Sanusi dilapor berkata demikian dengan mempersoalkan mengapa King Sing dimasukkan dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Thailand di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao Thailand, baru-baru ini.

Pada Jumaat lalu, menerusi akaun Facebook rasminya, King Sing mengulas isu itu dan menjelaskan keberadaan beliau pada lawatan itu bersama Perdana Menteri.

Bagaimanpun, King Sing kecewa dengan kenyataan dikeluarkan Sanusi yang menyentuh mengenai penampilannya.

Kelmarin, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sabah, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyelar tindakan Muhammad Sanusi yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap King Sing.

Abdul Karim berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah itu semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini adalah komen yang tidak wajar.

Beliau menyifatkan kenyataan Sanusi itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin kepada rakan sekerja lain.

Dalam pada itu King Sing berkata, sesiapa sahaja akan marah jika dihina dan diperlakukan sedemikian rupa.

Ujarnya, sama juga seperti pelancong asing yang datang tidak boleh ditegur hanya kerana semata-mata cara mereka berpakaian.

“Contohnya kalau wanita…kalau pakaian kurang
sikit dia cakap bukan manusia, tapi binatang. Dia orang marah ke tidak mau datang (melancong) lagi ke tidak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast