Fadzli Mohamad Kamal

KUANTAN – Gaji minimum jurulatih sepenuh masa telah dinaikkan bermula RM2,000 sebulan pada awal Mac lalu berbanding gaji minimum yang bermula RM1,500 sebulan sebelum ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, inisiatif tersebut mampu menaikkan moral dan semangat jurulatih untuk menjalan tugas dengan penuh semangat, menerap mentaliti juara dan dedikasi tinggi.

”Setiap atlet yang layak ke SUKMA Sarawak 2024 bakal menerima elaun minimum berjumlah RM200 sebulan,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, V Arumugam pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Fadzli, elaun tersebut diberikan bagi memastikan atlet-atlet Pahang terus melakar kejayaan

Selain itu, beliau berkata, atlet yang pernah memenangi pingat pada SUKMA sebelum ini bakal menerima sehingga RM500 sebulan bermula Januari depan.

Katanya, ia merupakan pengiktirafan, dorongan dan pemangkin semangat atlet untuk berjuang bagi menaikkan nama Pahang.

Sementara itu, Fadzli berkata, kerajaan menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih fasiliti sukan termasuk Stadium Darul Makmur (SDM) berjumlah RM1.3juta.

”Kini pihak SDM memberi peluang kepada rakyat untuk turut menggunakan kemudahan trek di stadium itu secara percuma pada Isnin hingga Khamis.

“Selain stadium, kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan untuk menaik taraf lapang sasar menembak di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), pembinaan baharu litar skateboard dan pusat latihan Muay Thai Pahang di Jerantut,” katanya. – MalaysiaGazette