Mohamad Fikri (tengah) dan Veronica beramah mesra dengan wakil-wakil hospital pada MoU antara YEG Academy dan Mahsa University.
Mohamad Fikri (tengah) dan Veronica beramah mesra dengan wakil-wakil hospital pada MoU antara YEG Academy dan Mahsa University di Kuala Lumpur baru-baru ini..

KUALA LUMPUR – Dalam memperkasa kebolehpasaran kerjaya jururawat, Young Education Guidance (YEG) Academy menjalinkan kerjasama dengan MAHSA University menerusi satu memorandum persefahaman (MoU).

Menurut Ketua Pegawai Operasi YEG, Mohamad Fikri Hasbi, kerjasama itu disebabkan permintaan kerjaya jururawat yang tinggi di mana MoU berkenaan mampu memberi keterjaminan kerja kepada para graduan Diploma Kejururawatan dari MAHSA University.

“Tujuan program hari ini adalah bagi menandatangani dan memeterai MoU serta menjalinkan kerjasama dengan MAHSA khususnya dalam bidang Diploma Kejururawatan MaHSTech yang memberi peluang kepada graduan untuk terus bekerja.

“MaHSTech yang berjalan di bawah kempen YEG #belajarteruskerja adalah bertujuan untuk mengetengahkan program diploma yang semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi dalam sektor kesihatan pada masa kini” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerjasama berkenaan membabitkan Mahsa University sebagai penyedia graduan Diploma Kejururawatan dan empat buah hospital antaranya Hospital Thomson, KPJ Healthcare, Regency Specialist Hospital dan ICG Healthcare.

Tambah Mohamad Fikri, MaHSTech merupakan platform untuk sambung belajar yang telah diinovasi untuk lebih relevan kepada para pelajar lepasan Silij Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini jelas beliau, diploma didalam bidang kesihatan akan membuka laluan kerjaya kepada pelajar ini yang dilihat mampu memberikan pengalaman dan kemahiran terbaik buat golongan lepasan SPM dan kekal relevan dalam industri kerjaya.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MAHSA dalam memastikan kemampuan kita melahirkan graduan jururawat terlatih secara profesional dan terus bekerja dengan hospital-hospital yang berkerjasama dalam program ini.

“Hospital-hospital ini menawarkan biasiswa kepada pelajar dan seterusnya melayakkan mereka untuk terus berkhidmat” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dekan dan Pengarah Kanan Akademik Fakulti Kesihatan, Sains, Kejuurawatan dan Pendidikan Universiti MAHSA, Prof Veronica Chua Poh Choo menambah, permintaan tenaga kerja jururawat di Malaysia semakin meningkat sejak pandemik Covid-19.

“Kerjaya ini sejak tahun 2020 mendapat permintaan tinggi bukan sahaja didalam negara malah Singapura, Arab Saudi dan Dubai juga memohon para graduan kami untuk berkhidmat di negara mereka selepas tamat pengajian.

“Objektif kerjasama dengan YEG sebagai pembuka jalan bagi graduan kami memenuhi permintaan kebolehpasaran negara,” jelasnya.

Sektor kesihatan jelas Poh Choo, sektor kesihatan negara juga telah membuka peluang kepada jururawat warga asing yang disahkan oleh Lembaga Jururawat Malaysia untuk berkhidmat disini sejak Oktober 2022.

Untuk rekod, YEG Academy dan MAHSA  menyasarkan 400 graduan setahun dilahirkan melalui MoU berkenaan. – MalaysiaGazette