Dua pemilik syarikat diiringi pegawai SPRM bagi permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Dua pemilik syarikat yang disyaki menggunakan dokumen perjanjian palsu bagi tujuan memperdaya dan mendapatkan wang pelaburan kira-kira RM200,000 direman dua hari hingga esok, 7 Disember.

Majistret Mohamad Syafiq Sulaiman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 40-an diwakili peguam Mishant Thiruchelvam dari firma guaman Mishant & Co Advocates & Solicitors.

Terdahulu kedua-dua ahli perniagaan itu tiba di Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Semalam, media melaporkan SPRM menahan dua pemilik syarikat kerana disyaki menggunakan dokumen perjanjian palsu bagi tujuan memperdaya dan mendapatkan wang pelaburan kira-kira RM200,000.

Dokumen berkenaan membabitkan kerja pembekalan pasir di sebuah daerah di Selangor sedangkan projek tersebut tidak dilaksanakan.

Menurut sumber, dua suspek itu ditahan ketika diminta hadir memberi keterangan kira-kira jam 3.30 petang, di pejabat SPRM Selangor, semalam.

Kedua-dua suspek juga dipercayai secara bersama menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu memperdaya dua ahli perniagaan, termasuk seorang bergelar Datuk bagi projek pembekalan pasir pada 2022. – MalaysiaGazette