KUALA LUMPUR – Penghayatan Rukun Negara yang telah menjadi tali pengikat kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara selama ini perlu diperhebatkan.
Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, setiap dari rakyat Malaysia seharusnya tahu, faham dan menghayati serta mengamalkan prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara.
Menjadi kewajipan setiap warganegara memastikan jaminan kesejahteraan hidup berlandaskan prinsip bersatu padu yang mampan dapat berlangsung hingga ke generasi seterusnya.
Katanya, kedamaian dan kesejahteraan hidup yang dimiliki Malaysia tidak terbentuk dalam sekelip mata dan ia merupakan satu proses kehidupan bersama yang telah dialami sejak sekian lama.
Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan menjadikan prinsip Rukun Negara sebagai subjek di sekolah untuk dihayati oleh setiap murid yang menjadi pewaris bangsa.
“Sekolah bukan sahaja berperanan mendidik anak bangsa menjadi generasi berilmu malah ia juga mestilah berjaya dan berupaya melahirkan setiap rakyat Malaysia yang kekal dengan jati diri yang menjunjung semangat Rukun Negara.
“Ia boleh menjadi satu subjek penting yang akan didik di semua pra sekolah, taman asuhan kanak kanak, kindergarten mahu pun apa jua namanya selagi tempat di mana anak anak yang menjadi pewaris negara ini memulakan alam persekolahan mereka, maka kurikulum baru ini akan menjadi teras dalam pembentukan diri untuk mereka terima dan fahami,” katanya.
Mohamad Fatmi membuat cadangan tersebut ketika membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan di Dewan Negara hari ini.
Katanya, pendidikan Rukun Negara dapat menghalang tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak menyebarkan doktrik politik bermula dari pra sekolah.
“Melentur buluh biar dari rebung Kita tidak mahu lagi membiarkan adanya unsur menanam doktrin politik berlaku di pra sekolah tertentu. Pemikiran anak-anak yang seharusnya suci dari sebarang anasir buruk tapi sayang di selewengkan dengan perkara yang tidak membantu dalam pembentukan masyarakat sivil yang bertamadun.
“Pendidikan awal ini amat penting supaya setiap dari anak anak negara ini sentiasa meletakkan muafakat, tolak ansur dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain adalah asas kepada melahirkan sebuah masyarakat yang dinamik dan berketerampilan namun tetap menjunjung asas kepercayaan hidup bermasyarakat dan bernegara,” katanya.
Jelas beliau, pendidikan Rukun Negara dapat membendung isu 3R iaitu agama, raja dan bangsa yang dimainkan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.
Tindakan undang undang perlu dilaksanakan selaras dengan usaha murni kerajaan menjadikan semangat Rukun Negara di dalam pembudayaan masyarakat madani.-MalaysiaGazette