Kampung Kok dilihat berpotensi tinggi untuk menjadi satu tarikan pelancongan.

ALOR SETAR – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah melaksanakan Projek Flagship LPNM di Kampung Kok, Langkawi dalam usaha menjadikan kampung itu sebagai hab pengeluaran buah dan produk nanas utama di Langkawi.

Pengerusinya Sheikh Umar Bagharib Ali dalam kenyataan berkata, projek tanaman yang diusahakan Persatuan Penanam Nanas Daerah Langkawi sejak 2019 itu juga dilihat berpontensi untuk dijadikan tarikan agropelancongan.

“Tanaman nanas yang diusahakan di Kampung Kok itu merupakan perintis bagi projek tanaman nanas di Pulau Langkawi dengan keluasan bertanam 4.4 hektar dan sehingga 2023, secara keseluruhannnya seluas 40.4 hektar nanas telah ditanam di Felcra Kampung Kok.

“Menteri Pertanian Datuk Seri Mohamad Sabu yang berhasrat untuk melihat Kampung Kok ini dijadikan sebagai pusat pengumpulan nanas juga telah menyampaikan sebuah lori 7.5 tan dan sebuah traktor kepada Persatuan Penanam Nanas Daerah Langkawi dalam satu majlis pada Julai lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Persatuan Penanam Nanas Daerah Langkawi telah menerima peralatan mesin pemprosesan produk nanas dan bantuan pembungkusan seperti kotak, botol jus dan beg plastik.

“Sebuah replika nanas turuk didirikan di kampung berkenaan sebagai simbolik Kampung Kok yang mana merupakan perintis projek tanaman nanas Langkawi dan sebagai daya tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Dengan insentif daripada LPNM itu, Kampung Kok akan dapat menghasilkan produk-produk berasaskan nanas di samping pengeluaran dan jualan buah nanas segar dengan jenama sendiri,” katanya.

Tambahnya, bagi mempromosikan nanas Kampung Kok, LPNM juga telah memohon kiosk jualan di Langkawi Sky Cable Car bagi membolehkan persatuan berkenaan menjual hasil tanaman dan produk nanas.

Kedah merupakan pengeluar hasil nanas kelima terbesar negara dengan keluasan bertanam 352.9 hektar dan penghasilan lebih 11,300 metrik tan nanas pada 2022. – BERNAMA