Senator, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parliment, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM,06 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta supaya mempercepatkan pembinaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menurut Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, pengangkutan moden yang banyak digunakan di negara maju seperti Perancis, Jerman dan Jepun itu amat perlu dalam meningkatkan aktiviti ekonomi negara.

Bercakap di Dewan Negara ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan beliau mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berani untuk meneruskan projek HSR.

Katanya, setiap kawasan transit HSR akan mengalami lonjakan pasaran harta tanah serta aktivti perniagaan di kawasan baru sekali gus menjadi pemangkin kejayaan koridor ekonomi yang dirancang oleh kerajaan selama ini.

HSR juga akan membuka mata dunia terhadap Malaysia sebagai pusat perdagangan dan perniagaan yang lebih kondusif, terancang dan selamat serta menjadi alternatif baru industri di Asia Tenggara.

“Pastinya usaha perdana menteri untuk meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada 30 kuasa besar ekonomi dunia akan lebih mudah dan segera dicapai.

“Persoalannya Tan Sri Yang di-Pertua, sejauh mana pihak kerajaan boleh menentukan dengan pasti bahawa kawasan transit HSR yang melibatkan daerah tertentu di setiap hentian perjalanannya nanti, benar-benar mengambil kira kepentingan ekonomi domestik serta mempunyai rantaian pengembangan ekonomi yang holistik,” kata beliau.

Tambah beliau, pembinaan HSR Kuala Lumpur-Singapura bakal membuka banyak peluang pekerjaan untuk diterokai terutama oleh golongan muda.

Katanya, rakyat tidak lagi khuatir untuk tinggal di luar kawasan pekerjaan kerana jarak perjalanan tidak lagi menjadi isu untuk mereka pergi ke tempat kerja.

“Jurang yang jauh dapat dicepatkan perjalanannya akan menyebabkan rakyat mempunyai pilihan untuk meneroka bidang pekerjaan dan berniaga dengan berulang-alik antara Kuala Lumpur dengan Johor Bahru atau Singapura.

“Bayangkan selepas ini mungkin ada rakyat kita tinggal di Kuala Lumpur mula mengambil keputusan mencari peluang pekerjaan di Johor Bahru atau di kawasan transit HSR yang lain.

“Ini sedikit sebanyak akan mengurangkan tumpuan mencari pekerjaan yang hanya berpusat di Kuala Lumpur, sekali gus membuka peluang lagi luas kepada anak muda mencari pekerjaan,” kata beliau.

Katanya, HSR juga menyemarakan sektor pelancongan terutama dari Singapura yang mempunyai kuasa beli yang tinggi untuk berbelanja di dalam negara.

Industri perhotelan juga akan mendapat nafas baharu dengan peningkatan penggunaan bilik hasil keluar masuk rakyat terutama pelancong dari Singapura.-MalaysiaGazette