Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin  disyaki dibunuh kerana ada kesan kecederaan pada bahagian leher serta kecederaan di bahagian badan.

Perkara itu difahamkan telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid hari ini ketika dihubungi.

Ketika ini pihak berkuasa sedang giat mengesan suspek, selain memanggil saksi terdekat termasuk ibu bapa, jiran serta penduduk setempat.

Petang tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan  telah mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas hasil bedah siasat hari ini.

Kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air berdekatan takungan air, 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira pada 10 malam.

Penemuan kanak-kanak berkenaan susulan Op Tutup rumah ke rumah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang bermula pukul 9 malam tadi. -MalaysiaGazette