Orang ramai mengusung mayat di tengah-tengah Gaza susulan serangan berterusan oleh Israel. Foto Anadolu Agency

BAITULMAQDIS – Peperangan Israel di Semenanjung Gaza akan berakhir dengan menyerahkan pemimpin Hamas dan mengembalikan tebusan, kata jurucakap Israel pada hari Khamis.

“Perang di Gaza boleh berakhir dengan syarat pemimpin Hamas menyerahkan diri kepada tentera Israel dan tawanan dikembalikan,” kata jurucakap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, Ofir Gendelman.

Menurutnya, tentera Zionis itu sedang mara di selatan Semenanjung Gaza.

“Pasukan kami mengepung rumah (pemimpin Hamas di Gaza) Yahya Sinwar (di Khan Younis) dan misi pasukan kami adalah untuk menangkapnya secepat mungkin,” tambahnya.

Gendelman menolak gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres untuk gencatan senjata di Gaza.

“Gesaan untuk gencatan senjata sekarang adalah sama dengan seruan untuk mengekalkan kuasa Hamas di Gaza. Kami menolaknya secara mutlak,” tambahnya.

Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Semenanjung Gaza pada 1 Disember selepas berakhirnya gencatan senjata selama seminggu dengan Hamas.

Sekurang-kurangnya 17,177 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 46,000 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti ke atas enklaf itu sejak 7 Oktober lalu berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas. – Agensi