Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dana RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersambung dengan sesi soal balas pasukan pembelaan dengan saksi ke-47 hari ini.

Saksi itu, penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd Roslan hari ini menafikan dirinya berpakat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menyediakan laporan yang menunjukkan aliran dana 1MDB ke dalam akaun bank Najib.

Ketika disoal balas oleh ketua pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Adam menafikan dirinya berpakat dan mengikut telunjuk SPRM dalam penyediaan laporan aliran wang 1MDB.

Muhammad Shafee menuduh penganalisis itu berpakat dan sengaja membuat tuduhan Najib bersalah dalam kes penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion.

Beliau mencadangkan Adam rapat dengan SPRM ketika melakukan analisis jejak aliran 1MDB yang masuk ke dalam akaun bekas Ahli Parlimen Pekan namun saksi berkenaan tetap menafikan dakwaan itu.

Shafee: Anda menjadi rapat dengan SPRM ketika dipinjamkan oleh BNM kepada agensi itu?

Adam: Tidak setuju

Shafee: Jadi mentaliti pemikiran anda tidak bebas?

Adam: Tidak setuju

Muhammad Shafee juga menjadi kurang sabar apabila beliau bertanya tentang kaedah analisis digunakan Adam dalam melakukan siasatan aliran wang tersebut.

Bagaimanapun, kata Adam, beliau tidak pernah meminta sebarang penyata wang daripada bank berpangkalan di Riyadh sebelum membuat analisis berkenaan.

Tetapi pada masa sama, Adam bersetuju dirinya tidak boleh membuat sebarang kesimpulan sama ada Najib bersalah atau sebaliknya.

Untuk makluman, Adam telah memulakan kerjaya di BNM sebagai pelatih di Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM pada 2017 sebelum diserap sebagai penganalisis pada tahun sama.

Najib sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Prosiding akan bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah pada 15 Disember ini. -MalaysiaGazette