KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki iaitu Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi yang disyaki hilang sejak kelmarin dilihat kali terakhir di Masjid Saidina Uthman, Bandar Tun Razak pukul 5.40 pagi tadi.
Ibunya, Shuhada Jamaludin berkata, maklumat terkini mengenai anak sulungnya yang berusia 14 tahun diperolehi daripada orang ramai selepas berita kehilangan Danial Akmal tersebar.
“Ada orang nampak dia di Masjid Saidina Uthman, Bandar Tun Razak pukul 5.40 pagi tadi dan sehingga kini tiada maklumat terkini saya terima.
“Kali terakhir dia telefon saya pada hari kejadian Rabu lalu pukul 6.33 pagi sebanyak tiga kali tetapi saya tidak sempat jawab.
“Biasanya kalau saya tidak jawab waktu Subuh itu dia akan telefon saya pada waktu malam lepas habis prep di asrama. Tetapi saya tunggu malam Rabu lalu dia tidak telefon dan keesokannya saya dapat maklumat dari sekolah di telah hilang,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Shuhada menambah, Muhammad Daniel yang belajar di Sekolah Menengah Sains Alam Shah di Cheras, Kuala Lumpur pernah mengadu kepadanya pada Ogos lalu menjadi mangsa buli di sekolah.
Bagaimanapun dia tidak mendengar aduan tersebut daripada anak lelakinya itu selepas itu.
“Saya ada melawat Daniel bulan lalu dan dia dalam keadaan baik dan tiada masalah.
“Dia merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah melakukan masalah sebelum ini selain mendengar kata saya dan suami, dia tidak pernah bertindak sebegini sebelum ini,” katanya mengenai anak sulung daripada tiga beradik itu.
Shuhadi memberitahu, anaknya juga cemerlang dalam akademik namun seorang yang ‘introvert’ selain tidak memiliki ramai kawan.
“Selain itu, dia juga seorang yang sensitif dan mudah tersentuh, tapi pergaulannya dengan rakan-rakan setahu saya baik,” katanya.
Sementara itu, polis memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan mangsa diminta tampil ke Balai Polis berhampiran ataupun menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999. – MalaysiaGazette