Suasana sepi di pekarangan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai ketika MalaysiaGazette tiba di taman permainan yang menjadi hasrat terakhir Zayn Rayyan 'menikmati' hayunan buaian sebelum dilaporkan hilang.

HARI PERTAMA (5 DISEMBER)

Meragam, itu sikap biasa bagi anak-anak autistik jika kemahuannya tidak ditunaikan, hatta anak normal sekali pun ada yang bertindak sedemikian.

Siapa sangka, ragaman itu menjadi pencetus kehilangan kanak-kanak autisme berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang merayu ibunya untuk bermain buaian di taman permainan bawah blok perumahan mereka.

Walaupun si ibu, Ismanira Abdul Manaf, 28 yang bekerja sebagai kerani mengejar masa, hasrat anak sulung daripada dua beradik itu tetap ditunaikan selepas pulang dari sekolah sekitar jam 12.30 tengah hari, 5 Disember lalu.

Selepas beberapa minit kemudian, ibunya mengajak naik ke kediaman mereka di tingkat tiga sambil membawa beg sekolah Zayn dan plastik berisi barang basah untuk menyediakan hidangan tengah hari.

Tangga bahagian tengah di blok R ketika meniti di tingkat dua

Selepas meniti tangga di tingkat dua, Ismanira menyedari Zayn hilang selepas panggilannya tidak disahut dan mula mencari di kawasan sekitar, namun ia tidak berhasil.

Laporan polis turut dibuat pada hari sama dan pihak berkuasa memulakan pencarian, masih sama. Tidak berhasil.

HARI KEDUA (6 DISEMBER)

Susulan perkongsian Ismanira di media sosial mengenai kehilangan Zayn menemui jalan buntu, dia memohon penduduk setempat membantu mencari kanak-kanak malang itu pada 11.16 pagi, 6 Disember.

Pada sebelah petang, beberapa kanak-kanak memberitahu mereka melihat mangsa masuk ke kawasan belukar berhampiran selain dikatakan bermain di tingkat tiga blok terbabit tetapi melarikan diri sebaik melihat kehadiran orang lain.

Antara belukar yang dipercayai menjadi kawasan dilalui Zayn iaitu berdekatan lokasi jasadnya ditemui

Sekitar jam 4.27 petang, pihak polis mengaturkan unit anjing pengesan (K9) bersama bomba untuk mencari di kawasan berhampiran, namun tiada petunjuk keberadaan mangsa.

Kegagalan itu mendorong pihak polis menggerakkan operasi pencarian rumah ke rumah bermula jam 9 malam membabitkan penduduk setempat untuk memeriksa 2,482 unit kediaman di 18 blok pangsapuri terbabit.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan mengiring di sebatang sungai sekitar 200 meter dari kediaman mereka

Sejam kemudian, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mendapat panggilan daripada anggotanya bahawa mayat Zayn ditemukan orang awam di kawasan sungai berhampiran.

Jeritan Ismanira memecah kesunyian hening malam itu apabila melihat jasad anaknya terkujur dalam keadaan mengiring di sungai berkenaan, si ayah pula beberapa kali pitam dek gagal menahan berita pilu tersebut.

Blok kediaman mangsa jelas dapat dilihat dari lokasi penemuan jasad kanak-kanak malang itu

Penemuan itu turut menimbulkan tanda tanya kerana lokasi terbabit telah dilalui oleh unit K9 sebanyak tiga kali sejak hari pertama iaitu pada 5 Disember sekali gus membuktikan Zayn mungkin dibunuh di tempat lain dan baru ditempatkan di situ.

HARI KETIGA (7 DISEMBER)

Hasil laporan bedah siasat yang dijalankan pihak forensik di Hospital Sungai Buloh pada 7 Disember mengesahkan terdapat kesan cedera di leher dan badan mangsa.

Kes yang diklasifikasi sebagai kematian mengejut akhirnya ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas penemuan terbaharu itu menunjukkan ada kesan melawan di leher mangsa.

Jenazah Zayn Rayyan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara sekitar jam 7 malam.

Polis memulakan siasatan termasuk mengambil keterangan ibu mangsa dan juga individu pertama menemukan jasad Zayn Rayyan.

Pemergian anak syurga, Zayn Rayyan

HARI KEEMPAT (8 DISEMBER) 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid meninjau lokasi kes

Hari ini, polis telah menutup kawasan penemuan jasad Zayn Rayyan kepada orang awam bagi menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu.

Polis juga memanggil sekali saksi-saksi yang telah memberi keterangan sebelum ini.

Dalam masa sama, pihaknya kini sedang giat mendapatkan beberapa bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya ada di kawasan berdekatan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, tiada CCTV di kawasan sekitar itu melainkan di bahagian lot kedai sekitar pintu masuk pangsapuri berkenaan yang agak jauh dari lokasi kes sekitar 600 meter.

Satu alat seakan CCTV berdekatan pintu masuk bangsal yang tidak jauh dari lokasi kes

Pemerhatian MalaysiaGazette turut mengesan satu alat seakan CCTV di bangsal yang dipercayai stor menyimpan barangan untuk berkebun, kurang 100 meter dari lokasi kes, bagaimanapun ia dilihat seperti tidak berfungsi memandangkan suis tidak dihidupkan. – MalaysiaGazette