PUTRAJAYA – Pembesaran fasa 2 terminal Westports dijangka dapat meningkatkan kapasiti sehingga 27 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) berdasarkan unjuran sehingga 2082.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, konsesi baru yang akan melibatkan pembangunan pembesaran dalam tempoh 58 tahun itu mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan sepenuh masa selain pelaburan RM39.6 bilion.

“Pembangunan baru ini akan menyediakan kemudahan pelabuhan tambahan untuk menampung 13 juta TEU selain memberi impak ekonomi sebanyak RM55 bilion serta menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM19 billion dan itu laporan PriceWaterhouseCoopers (PwC) pada tahun 2022,” katanya.

Anthony berkata demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga Penswastaan Pelabuhan Barat antara Lembaga Pelabuhan Klang dengan Westports Malaysia Sdn Bhd.

Jelasnya, pembangunan pembesaran berkenaan merupakan langkah proaktif untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan yang canggih dan lestari.

“Saya percaya bahawa inovasi dan pembaharuan berterusan adalah penting untuk menjaga daya saing dan keunggulan Pelabuhan Klang di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, kolaborasi berkenaan akan membawa pencapaian yang lebih besar sekaligus masa depan yang lebih cerah bagi industri pelabuhan, perkapalan dan logistik di Malaysia.

 “Industri maritim mempunyai potensi besar dalam meningkatkan kemajuan serta nadi kepada kemakmuran ekonomi negara. Industri ini mampu memberikan impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selaras dengan matlamat ke arah mencapai status negara maju.

“Kerajaan telah memberi fokus Belanjawan 2024 kepada industri logistik dengan memberi sokongan padu terhadap pendigitalan untuk meningkatkan produktiviti,” katanya lagi.

Sebelum ini, Perjanjian Penswastaan Pelabuhan Barat di antara kerajaan, LPK dan Westports Malaysia Sdn Bhd telah ditandatangani untuk 30 tahun berkuat kuasa 1 September 1994 hingga 31 Ogos 2024. – MalaysiaGazette