Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan data peribadi rakyat Malaysia dalam sistem pengenalan digital selamat dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

Ia sekaligus menepis kebimbangan rakyat kononnya pihak ketiga berkemungkinan akan memiliki data peribadi yang dikhuatiri boleh terdedah kepada risiko kebocoran maklumat dan menjejaskan keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini jaminan yang diberikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada orang awam yang mengaitkan dengan beberapa insiden kebocoran maklumat peribadi kebelakangan ini.

“Kerajaan sangat komited untuk menjamin dan melindungi data peribadi rakyat Malaysia, kerahsiaan data peribadi rakyat adalah menjadi keutamaan kerajaan Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir melancarkan Sistem Dokumen Kelayakan Disahkan Digital Rentas Sempadan di atas Blok Rantai Zetrix-Xinghuo oleh kerjasama antara MyEG dan Kumpulan Guangxi Beitou IT Innovation Investment di sebuah hotel di ibu negara petang tadi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menambah  penglibatan mana-mana syarikat luar negara dalam kerjasama dengan syarikat tempatan tidak sama sekali akan membawa risiko kepada kedudukan kerajaan sebagai pemegang taruh utama atau pengendali tunggal perlindungan data peribadi rakyat Malaysia.

“Tidak kira walaupun mereka (syarikat luar) merupakan pengendali dan jika kerajaan meluluskannya, setakat ini tidak ada sebarang pengesahan syarikat mana yang akan memperoleh hak milik menguruskan maklumat.

“Bagaimanapun, keutamaan kerajaan Madani sekarang adalah data peribadi akan tetap menjadi harta utama kepada kerajaan sebagai pemegang taruh utama khususnya kerajaan Malaysia dan tidak akan berlaku kebocoran maklumat peribadi kepada pengendali luar negara,” katanya lagi.

Semalam dilaporkan Perkhidmatan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesahkan bahawa data maklumat dan laman web rasmi mereka telah digodam sejak 2 Disember lalu.

Dalam satu kenyataan, PERKESO berkata, pelan pengurusan krisis telah diaktifkan oleh pihaknya pada hari yang sama kejadian itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, kolaborasi MYEG dan Beitou Innovation menawarkan perkhidmatan pengeluaran dan pengesahan dokumen kelayakan termasuk identiti digital merentasi sempadan.

“Dalam aplikasi perintis, pemegang lesen memandu keluaran negara China memohon secara dalam talian untuk mendapatkan versi digital lesen mereka dalam bentuk dokumen kelayakan disahkan digital yang disimpan dalam dompet blok rantai Zetrix.

“Kelebihan sistem ini adalah dokumen digital yang diterbitkan atas blok rantai tidak boleh dipalsukan maka pihak yang perlu mengesahkan dokumen tersebut boleh mengesahkan tanpa sebarang keraguan.

“Kerjasama MyEG ini mampu merealisasikan Malaysia sebagai pemangkin dan pengeksport utama teknologi baharu sekaligus meningkatkan keyakinan pelabur dalam industri perkhidmatan digital Malaysia,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette