KUALA LUMPUR – “Tidak kira hujan atau tidak, kita akan teruskan operasi dan siasatan sedang giat dijalankan ketika ini.
“Malam ini selepas bermesyuarat di IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) PJ (Petaling Jaya) kita akan adakan operasi malam ini juga. Harap tidak ada gangguan, kata sumber polis ketika di temui di di Damansara Damai, di sini.
Beliau meminta media supaya tidak mengikut polis ketika melakukan operasi malam ini, sebaliknya menunggu makluman seterusnya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang berada di lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan berkata, pihaknya akan menjalankan ‘mass screening’ serta siasatan menyeluruh penduduk di situ termasuk semakan rekod jenayah.
Polis juga akan meneruskan operasi siasatan dari rumah ke rumah yang telah sejak semalam dan operasi itu melibatkan 2,400 rumah, ujarnya.
“Ini meliputi ‘mass screening’ membabitkan data cap jari orang yang mempunyai rekod jenayah termasuk kumpulan yang terbabit dalam kesalahan seksual. Penduduk tempatan atau orang luar juga kita akan ambil perhatian,” jelasnya
.Hussein berharap kesan cap jari dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dipercayai milik suspek pembunuhan Zayn Rayyan dapat dikenal pasti.
Katanya, keputusan ujian cap jari dan DNA dijangka diperoleh dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.