KUALA LUMPUR – Polis telah selesai melakukan pemeriksaan di tiga blok perumahan di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini membabitkan sebanyak 540 unit rumah bagi siasatan kematian Zayn Rayyan.
Kes Zayn yang pada awalnya diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) bagaimanapun dibuka kertas siasatan sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas hasil bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak malang itu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, proses pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi membantu siasatan itu kematian Zayn.
“Setakat ini, kita baru selesai membuat pemeriksaan di tiga blok perumahan membabitkan 540 unit daripada keseluruhan 18 blok yang menempatkan 2,484 unit rumah.
“Siasatan juga masih diteruskan oleh polis dengan memeriksa saliran air berdekatan Apartmen Idaman yang menjadi lokasi penemuan mangsa,” katanya ketika MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin lagi, siasatan masih diteruskan membabitkan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari lokasi asal kehilangan dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.-MalaysiaGazette