KUALA LUMPUR- Tindakan masyarakat dunia yang berharap kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) sebagai ejen pendamai untuk menghentikan perang Israel- Palestin satu kesilapan besar.
Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia berkata, ini kerana AS hanya memperjuangkan isu yang memberi kepentingan kepada mereka sahaja bukan untuk menangani hak asasi manusia.
“Jika sebelum ini, AS begitu lantang menentang konflik Rusia-Ukraine serta isu melibatkan China yang dikaitkan dengan penindasan terhadap minoriti Uighur.
“Tetapi dalam isu Gaza, mereka siap galakkan lagi pembunuhan dengan menyediakan dana khas kepada Israel bagi tujuaan itu.
“Ini jelas membuktikan bahawa AS tidak boleh diharap dalam isu seperti ini, ia hanya akan bersuara jika ia melibatkan musuh yang tidak seteru dengan mereka seperti Rusia dan China,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazatte hari ini.

Pada awal November lalu, Dewan Perwakilan AS telah meluluskan pakej bantuan ketenteraan berjumlah AS$14.5 bilion (RM68.71 billion) kepada tentera penceroboh Israel untuk menentang perjuang Hamas tanpa menyelitkan sebarangn dana kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Tambahnya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seharusnya mengorak langkah lebih proaktif agar gencatan senjata kekal dapat disegerakan dan pembunuhan yang sedang berlaku di Palestin dihentikan.
Mohd Nizam turut mencadangkan agar negara Islam yang menjadi pengeluar minyak dan gas dunia dapat memperlahankan pengeluaran sebagai tanda protes akan kekejaman Israel.
“Jika pengeluaran minyak dan gas dunia diperlahankan, pelbagai negara akan terkesan sekali gus masyarakat dunia mendapat mesej tegas dari negara Islam agar Israel segera menghentikan penindasan terhadap Gaza,” katanya.
Israel meneruskan serangannya dari arah darat, laut dan udara ke atas Semenanjung Gaza Jumaat lepas hanya beberapa minit selepas jeda kemanusiaan tujuh hari yang ditaja oleh Mesir, Qatar dan AS berakhir.
Sekurang-kurangnya 17,177 penduduk Palestin termasuk lebih 8,697 kanak-kanak dan lebih 4,410 wanita terbunuh sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober. – MalaysiaGazette
percaya dengan Amerika itu satu, dan yang paling menyedihkan negara-negara Islam tidak dapat bersatu khususnya negara2 Arab seperti Mesir dan Arab Saudi. jika negara Islam berhenti mengeksport minyak pada negara yg nenyokong Israel, pastinya sudah lama Palestina merdeka.