Barisan pengadil pada Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 diantara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 08 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pengadil final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional malam tadi, S. Logeswaran dikatakan bukan dalam kalangan pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ini berdasarkan semakan Senarai Pengadil Antarabangsa FIFA 2023 di laman sesawang digitalhub.fifa.com, nama Logeswaran tidak berada dalam senarai terbabit, lapor BH Online.

Senarai nama terbabit hanya meletakkan enam pengadil FIFA dari Malaysia selain sembilan pembantu pengadil, empat pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai.

Enam pengadil FIFA terbabit adalah Razlan Joffri Ali, Muhammad Usaid Jamal dan Muhammad Nazmi Nasaruddin serta Suhaizi Shukri.

Dua lagi pengadil Malaysia yang turut tersenarai dalam senarai Pengadil Antarabangsa FIFA 2023 adalah Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah dan Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Sebagai rekod, perlawanan akhir Piala FA 2023 antara JDT dan KL City FC pada Julai lalu dan juga final Piala Malaysia 2022 antara JDT menentang Selangor FC (SFC) dikendalikan Muhammad Nazmi.

Terdahulu, persembahan Logeswaran dikritik hebat peminat pada aksi final Piala Malaysia selepas didakwa agak berat sebelah khususnya membabitkan sepakan penalti dihadiahkan kepada JDT dan TFC.

Ini selepas Logeswaran didakwa memberikan penalti yang ‘lembut’ dan tidak menunggu masa yang lama untuk memberikan penalti kepada JDT susulan kekasaran Azam Azmi Murad ke atas Fernando Forestieri

Namun ‘layanan berbeza’ diberikan kepada TFC apabila Ivan Mamut dijatuhkan Jordi Amat apabila Logeswaran pada mulanya tidak memberikan sepakan penalti namun pembantu pengadil, Muhammad Farhan Abdul Aziz mengangkat bendera untuk mengesahkan ia adalah penalti.

Malah, Logeswaran tidak melayangkan kad merah kepada Jordi selepas pertahanan JDT itu menghalang Mamut daripada menjaringkan gol selain beberapa kekasaran yang dilakukan kapten JDT itu selepas insiden berkenaan.

Berdasarkan semakan di Internet juga, dia pernah terpalit dengan beberapa kontroversi ketika mengadili perlawanan, contohnya ketika kekalahan KL City FC di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2021 yang mengundang ketidakpuasan jurulatih KL City FC ketika itu, Bojan Hodak.

Selain itu, Logeswaran juga tidak melayangkan kad merah kepada pemain JDT, Natxo Insa selepas pemain itu didapati menyiku pemain Penang FC, Casagrande pada 2021.

Pada musim ini pula, Logeswaran turut mengadili perlawanan yang menyaksikan Penang FC tewas 1-2 di tangan KDA FC apabila dia membatalkan jaringan Rafael Vitor kerana dikatakan mengasari pemain KDA FC.

Justeru, timbul persoalan bagaimana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memilih Logeswaran mengendalikan perlawanan kemuncak itu?

Sementara itu, Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram ketika dihubungi enggan mengulas mengenai isu ini. – MalaysiaGazette