Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

PETALING JAYA – Polis masih mengunggu kerjasama daripada penduduk Apartmen Idaman, Damansara Damai untuk menyerahkan rakaman dashcam kenderaan bagi membantu siasatan pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid bagaimanapun yakin penduduk akan memberikan kerjasama.

“Kita masih menunggu kerjasama daripada mereka. Saya yakin mereka akan beri kerjasama,” kata Mohamad Fakhrudin.

Menurutnya, bermula hari pertama kehilangan kanak-kanak berusia 6 tahun itu penduduk telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Beliau ditemui selepas meninjau perkembangan siasatan pembunuhan kanak-kanak autisme itu di lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan.

Seramai 42 anggota daripada pelbagai jabatan polis dan anjing pengesan daripada Unit K9 Bukit Aman meneruskan siasatan di lokasi kejadian hari ini.

“Kita berkolaborasi dengan Unit Forensik, K9, Jabatan Siasatan Jenayah Petaling Jaya dan Ibu Pejabaat Kontigen Selangor. Ada empat ekor anjing K9 diguna untuk mengesan petunjuk baharu.

“Kita masih lagi jalankan siasatan di tempat kejadian dan sedang mengesan penemuan-penemuan baru yang boleh membantu beri petunjuk suspek kes ini. Jadi kita akan tidak akan berputus asa dan akan mengesan suspek yang terlibat,” jelas beliau.

Beliau turut mengesahkan bahawa DNA yang ditemui pada badan mangsa telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

Ditanya sama ada mangsa mengalami serangan seksual, Mohamad Fakhrudin berkata, maklumat tersebut hanya boleh dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor.

Datuk Hussein Omar Khan sebelum ini dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek dalam kes kematian Zayn Rayyan adalah individu yang mempunyai rekod jenayah termasuk seksual.

Kematian Zayn Rayyan diklasifikasikan semula daripada mati mengejut kepada kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu pada Khamis.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam Rabu lalu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di di Blok R Apartmen Indaman.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang ketika bermain di taman permainan di kawasan perumahannya pada Selasa.-MalaysiaGazette