KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berbeza dengan tiga Perdana Menteri sebelumnya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pandangan itu adalah berdasarkan pemerhatiannya sepanjang dua kali menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Untuk itu kita lihat dalam tempoh empat tahun akan datang jika rakyat terus bersatu padu, insya-Allah menteri-menteri akan kerja dalam semangat sepasukan.
“Saya amat yakin kestabilan poltik dapat memacu pembangunan di negara ini termasuk mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya dalam sesi dialog sempena majlis penutup Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Sesi dialog yang diketuai Anwar itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan akan merombak kursus-kursus dalam aliran bukan sains agar lebih berkterampilan dari aspek kemahiran.
Menurut beliau, usaha itu bukan sahaja di peringkat universiti malah melibatkan institusi-institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di bawah politeknik serta Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Ia untuk memberikan peluang kerjaya kepada para pelajar dan bakal-bakal pekerja yang kita sebut sebagai guna tenaga penuh di negara kita.
“Insya-Allah rancangan keseluruhan dilakukan, komitmen Perdana Menteri berada pada tahap paling tinggi untuk melihat seluruh rakyat mempunyai pekerjaan yang baik,” jelasnya. – MalaysiaGazette