GEORGE TOWN – Bomba terpaksa dikerahkan ke tapak pembinaan Persiaran Bayan Mutiara, Gelugor di sini, semalam untuk mengangkat seorang lelaki obes dengan berat badan 200 kilogram (kg) yang mengalami sesak nafas.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) negeri berkata, keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dikerahkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan jam 8.49 malam.
“Sebaik tiba kita dapati lelaki berusia 40-an yang juga pemandu lori di tapak pembinaan itu berada dalam keadaan separa sedar, selain mengalami sesak nafas.
“Susulan itu, pihak St John memberikan rawatan awal kepada mangsa di lokasi kejadian sebelum kita melakukan operasi khas mengangkat mangsa.
“Mangsa diangkat dan ditempatkan di bahagian belakang pacuan empat roda sebelum dibawa ke hospital oleh majikannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, operasi tamat kira-kira jam 10 malam. – MalaysiaGazette