KUALA LUMPUR – Kerajaan telah mengutip sebanyak RM560 juta pembayaran cukai dan kompaun yang dikutip melalui PBTPay sejak aplikasi itu dilancarkan sehingga kini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, aplikasi tersebut cukup popular dalam kalangan rakyat kerana ia memudahkan urusan mereka.
“Anda duduk di Kuala Lumpur, rumah di Pulau Pinang, boleh bayar cukai atau kompaun, tak perlu balik kampung.
“Terus gunakan aplikasi PBTPay, boleh bayar semua, senang sahaja di hujung jari anda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat reruai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.
Selain itu, Kor Ming memberitahu, KPKT sedang dalam usaha mewujudkan automasi pelesenan bagi memastikan permohonan dapat diluluskan dalam masa 24 jam.
Menurut beliau, inisiatif di bawah program transformasi digital kementeriannya itu menyasarkan perniagaan yang tidak berisiko seperti kedai gunting rambut, kafe dan premis makanan.
“Pagi ini mohon, petang dapat. Tak payah pergi kaunter pun,” jelasnya. – MalaysiaGazette