PETALING JAYA – Pencarian bukti kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin pada hari keempat memberi tumpuan kepada sebuah stor simpanan yang berada 50 meter dari kediaman kanak-kanak autism itu.

Pemilik stor simpanan itu, Noraini Ahmad, 51, berkata, dia didatangi seorang anggota polis yang bertanyakan tentang bangunan itu awal pagi tadi sebelum diminta membukanya untuk menjalani pemeriksaan.

“Awal pagi tadi saya tertanya-tanya motosikal milik siapa yang diletakkan di hadapan stor saya, rupanya ada anggota polis bertanyakan siapa pemilik dan kunci stor.

“Tanpa bertanya lanjut, saya bersetuju untuk membuka stor, tanpa rasa takut atau gementar sebab polis nak lengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Blok S, Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, hari ini.

Terdahulu, dua ekor anjing pengesan (K9) dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA digerakkan ke stor simpanan untuk mengesan petunjuk baharu kes bunuh Zayn Rayyan.

Sebelum ini, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira jam 10 malam pada Rabu oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari bersama pihak polis.

Mangsa ditemukan terbaring di tepi anak sungai terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di di Blok R Apartmen Idaman.

Kes kematian kanak-kanak itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

Tambah Noraini, stor simpanan itu hanya menempatkan enam motosikal dan peralatan khemah milik dia dan suami, Zamri Jaafar, 53, yang dibina sejak 2003.

Jelasnya, siasatan lebih empat jam bermula jam 10.15 pagi tadi bermula dengan unit K9 dan disusuli anggota polis unit forensik PDRM.

Bagaimanapun katanya, sepanjang pemeriksaan dilakukan, anjing pengesan K9, Ricks dan Gucci tidak menunjukkan sebarang tindak balas di stor simpanan yang berkeluasan 600 kaki persegi.

“Anjing K9 dibawa masuk ke stor simpanan kami, dan sepanjang proses siasatan, anjing K9 tidak menggelupur atau menyalak.

“Anjing K9 juga dibawa rumah ke rumah tanpa masuk ke dalam kediaman penduduk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette