Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 11 DISEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri menasihatkan agar ahli-ahli Parlimen agar belajar daripada rakyat mengenai erti kesopanan dan penerapan akhlak yang baik.

Ini kerana beliau berpandangan ada segelintir daripada mereka agak keterlaluan dalam memberikan ucapan.

“Kadang-kadang ahli Parlimen harus belajar dengan rakyat mengenai apa erti sopan, erti soal yang menetapkan soal akhlak dan nilai.

“Kadang-kadang dengan sedikit kuasa dan media sosial mempromosikan ucapan mereka, mereka itu agak keterlaluan,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan Seri Indon, Putrajaya pagi ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Selain itu, menurut Anwar, nilai kesederhanaan dan akhlak yang baik perlu diterapkan oleh penjawat awam agar konsep Malaysia Madani dapat diangkat seiring dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Untuk itu, beliau berkata, kakitangan awam turut digesa untuk mengenepikan kelemahan lampau dan melahirkan keyakinan agar konsep Madani yang diketengahkan oleh beliau dapat dicapai.

“Kita bina kembali kekuatan itu dan kita tinggalkan (keburukan) yang berlaku. Mudah-mudahan kita tutup tirai 2023 dengan semangat bersama dan membuka lembaran baharu sejarah negara.

“Ini bukan soal pelaburan sahaja, keyakinan negara luar sahaja tetapi mengenai kapasiti kita untuk mengangkat keupayaan ekonomi, sosial dan sebagainya,” ujarnya.

Jelas Anwar, dalam usaha mencapai kejayaan dalam bidang kemajuan teknologi, negara tidak harus meninggalkan budaya ‘menggapai langit, mengakar ke bumi’.

“Sekurang-kurangnya kita sudah bagi garis urutan keutamaan bahawa sementara kita menggapai langit iaitu bidang-bidang baharu temasuk digital, AI (Kecergasan Buatan), tenaga baharu, soal tenaga, teknologi hijau, hidrogen tetapi kita harus sentiasa mengakar ke bumi sementara kita menggapai langit.

“Kalau kita hanya menggapai langit, kita akan hilang tradisi, budaya, menggapai ke langit itu. Jadi asas agama, akhlak, budaya, nilai itu mengakar ke bumi, yang kita nak menggapai ke langit itu ialah idealisme baharu, perubahan, teknologi digital dan sebagainya,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette