Anggota polis dari unit forensik membawa masuk bukti baharu yang diambil dari tempat penemuan mayat Zayn Rayyan.

PETALING JAYA – Anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini membawa keluar bahan bukti baharu dari lokasi penemuaan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini.

Wartawan MalaysiaGazette yang berada di lokasi sejak awal pagi menyaksikan beberapa anggota unit forensik berkenaan hadir kira-kira jam 6.30 petang di kawasan anak sungai berdekatan blok kediaman keluarga mangsa.

Siasatan dijalankan hampir satu jam di lokasi berkenaan dipercayai mengesan petunjuk baharu dengan mengambil bukti baharu.

Proses pengambilan bukti itu selesai kira-kira jam 7.30 petang sebelum beberapa anggota unit forensik berkenaan dilihat meninggalkan pekarangan blok unit kediaman keluarga Allahyarham Zayn Rayyan.

Memasuki hari kelima siasatan di sekitar Blok R, pengamal media sudah tidak dibenarkan berada di kawasan perumahan tersebut.

Pihak media yang berkumpul sejak awal 8 pagi tadi di sekitar rumah keluarga kanak-kanak itu telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan tersebut.

Dalam pada itu, kelihatan beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengawal kawasan blok perumahan itu dengan ketat bagi melancarkan proses siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, petunjuk yang diperoleh pihak polis setakat ini menjurus kepada seorang individu.

Katanya, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh daripada pelbagai sudut bagi memperoleh fakta dan maklumat yang tepat berhubung kes terbabit.

Tambah Hussein, proses penelitian video kamera papan pemuka (dashcam) setiap kenderaan penduduk di kawasan berkenaan masih berjalan bagi membantu siasatan.

Beliau menambah, siasatan mendapati berkemungkinan mayat kanak-kanak itu dibuang pada waktu petang di kawasan takungan air yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mangsa. – MalaysiaGazette