Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (tiga dari kiri) bersama Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin (kiri) dan wakil Liuzhou Railway Vocational Technical College (LZRVTC) majlis penyerahan plak dan Mock Cheque bernilai Renminbi 7.5 juta atau RM5.6 juta di tapak pembinaan ECRL Seksyen 10, Gebeng, di sini hari ini.

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima peruntukan sebanyak RM5.6 juta bagi tujuan penyediaan dan latihan tenaga kerja bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Peruntukan itu diberikan Liuzhou Railway Vocational Technical College (LZRVTC) dalam usahasama kedua-dua pihak membina Pusat Latihan Rel di Universiti tersebut.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan pusat latihan terbabit merupakan yang pertama negeri ini yang dijangka siap pada 2026.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

“Mereka (LZRVTC) sudah mempunyai institusi di sana (China) dan kita akan bekerjasama dengan mereka supaya anak-anak tempatan boleh diberikan ltihan secukupnya di dalam bidang yang mereka inginkan,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pusat latihan itu dijangka akan melatih sehingga 2,000 pelajar bagi pelbagai kemahiran yang berkaitan.

“UMPSA turut berkolaborasi dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) China bagi Program Ijazah Dual membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal yang menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara sejak tahun 2020 dimana para pelajar program berkenaan mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan plak dan Mock Cheque bernilai Renminbi 7.5  juta atau RM5.6 juta yang disaksikan Wan Rosdy di tapak pembinaan ECRL Seksyen 10, Gebeng di sini hari ini.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin

Menerusi kolaborasi tersebut juga, katanya, wujud peluang kedua-dua pihak meneroka potensi dalam projek ECRL antaranya penyediaan modul latihan pengoperasian dan penyelenggaraan rel serta kerjasama akademik dalam bentuk pensijilan terbuka sebagai nilai tambah terhadap keboleh pasaran graduan bergaji premium.

UMPSA juga berkolaborasi dengan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) dalam Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) yang bermula pada tahun 2017 hingga 2022 dan disambung untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2027.

“Kita harapkan ramai anak-anak muda yang berminat dalam industri rel ini untuk bersama-sama memberi khidmat mereka untuk dilatih untuk menjadi tenaga pakar dalam pengurusan kereta api ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast