sektor
V. Sivakumar

IPOH – Bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, menerima keputusan namanya digugurkan dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menurut Sivakumar beliau telah melakukan yang terbaik sepanjang setahun menjawat portfolio berkenaan di Kementerian Sumber Manusia (KSM) selepas mengangkat sumpah pada Disember 2022.

“Saya terima keputusan Perdana Menteri dan saya ucapkan terima kasih kepada seluruh warga KSM yang sentiasa bekerja sama dengan saya,” jawabnya ringkas ketika dihubungi MG Perak.

Ditanya adakah beliau akan memberi lebih tumpuan kepada rakyat di parlimennya Sivakumar berkata, beliau sentiasa berjiwa rakyat dengan sesiapa sahaja.

“Saya sentiasa berjiwa rakyat,” ulas Ahli Parlimen Batu Gajah itu secara ringkas.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan rombakan Kabinet di mana Sivakumar merupakan satu-satunya menteri yang digugurkan dan jawatan beliau diganti Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Turut digugurkan dua lagi Timbalan Menteri iaitu Ramkarpal Singah yang sebelum ini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang); dan Datuk Siti Aminah Aching yang merupakan Timbalan Menteri Peladangan dan Komoditi. – MalaysiaGazette