Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tengah) hadir pada Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto AFIQ HAMBALI/PEJABAT PERDANA MENTERI, 13 DISEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi mengharapkan pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan dapat membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurus ekonomi negara lebih berkesan.

Namun, Amir Hamzah diminta untuk tidak memfokuskan kepada ekonomi negara sahaja, sebaliknya turut meneropong ekonomi rakyat.

“Tidak dipertikaikan latar belakang hebat Menteri Kewangan II yang baharu. Luar biasa pengalaman dan kejayaannya. Tetapi jangan fokus pada ekonomi negara sahaja.

“Utamakan juga ekonomi rakyat. Perlu ada political will walaupun dasar itu tidak sesuai pada kaca mata korporat. Dengar denyut nadi rakyat. Menteri Kewangan perlu berjiwa rakyat. Barulah berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau pada awal Selasa mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Amir Hamzah memulakan tugas secara rasmi semalam apabila mengetip kad perakam waktu di Kompleks Kementerian Kewangan selepas selesai Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia, Sumpah Simpan Rahsia dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Negara.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWSP adalah teknokrat kedua dilantik menggalas tanggungjawab di Kementerian Kewangan dengan berlatar belakang korporat.

Beliau mengikuti jejak bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd pada 27 Februari 2015 hingga 9 Mac 2020.

Amir Hamzah menyertai KWSP yang merupakan dana persaraan terbesar negara dari segi aset di bawah pengurusan sebagai ketua pegawai eksekutif pada Mac 2021.

Sebelum itu, beliau menduduki kerusi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April 2019 hingga Februari 2021. – MalaysiaGazette