TEL AVIV – Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan kematian dua lagi askar semalam dalam pertempuran di utara Semenanjung Gaza.
Ini menjadikan jumlah kematian dalam serangan darat terhadap Hamas kepada 115 orang.
Kedua-duanya askar yang maut dikenali sebagai Kol. Itzhak Ben Basat, 44, ketua pasukan komander Briged Golani, dari Sde Ya’akov dan Sgt. Eran Aloni, 19, dari Batalion ke-51 Briged Golani, dari Ofakim.
Kedua-duanya terbunuh dalam pertempuran sama yang mana tujuh anggota Briged Golani terbunuh apabila mereka diserang hendap di Shejaiya, pinggir bandar Gaza.
Ben Basat, yang akan bersara daripada IDF tetapi memutuskan untuk kekal apabila perang meletus, adalah pegawai paling kanan yang terbunuh dalam serangan darat terhadap Hamas. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ketua Briged Yiftah.
Terdahulu media Israel melaporkan, lapan askarnya terbunuh termasuk komander Batalion ke-13, Briged Golani, Lt. Kol. Tomer Grinberg.
Mereka mendakwa, pasukan Hamas yang menyerang hendap mempunyai pengawasan video di kawasan itu dan telah ditempatkan di beberapa titik tinggi dalam pelbagai struktur.
Katanya, pasukan awal empat askar IDF telah terputus hubungan sepenuhnya dan kehilangan komunikasi dengan pasukan am IDF.
Menyedari perkara ini, beberapa komander IDF, termasuk Tomer bertindak untuk cuba menyelamatkan empat askar terbabit.
Menurut The Juruselam Post, mereka tidak tahu sama ada tentera Israel masih hidup, cedera, atau sama ada Hamas sudah cuba mengheret mereka ke dalam terowong sebagai tebusan.
Pasukan IDF menghampiri pertempuran dari tiga arah berbeza, satu set pasukan datang melalui kawasan yang sama dengan tempat pasukan asal datang untuk cuba mendapatkan mereka dengan lebih pantas.
Bagaimanapun kumpulan itu telah diserang hendap denngan serangan bahan letupan.
Satu lagi kumpulan tentera IDF datang dari belah bertentangan untuk membuat kejutan dan mengepung pasukan Hamas.
Akhirnya, pasukan IDF berjaya mendapatkan empat askar asal, yang kesemuanya telah mati.
Dalam proses cuba menyelamat, tiga set tentera Israel dari arah berbeza telah diserang hendap dan menghadapi pertempuran yang dikatakan sebagai huru-hara.
Keseluruhan episod pertarungan berlangsung dua hingga tiga jam. Pertempuran berhenti selepas IDF mendapat bantuan tembakan berat ke kawasan itu dari Unit 188.
Menghadapi kritikan bahawa ia sepatutnya menggunakan serangan udara ke atas kedudukan Hamas tanpa menghantar pasukan IDF, pasukan pertahan itu berkata bahawa tidak semua struktur di Gaza boleh dibom. – Agensi