KUALA LUMPUR – Polis selesai rekod keterangan Kit Siang veteren DAP, Tan Sri Lim Kit Siang di Petaling Jaya, dekat sini, berhubung kenyataannya berkaitan kemungkinan orang bukan Melayu dilantik menjadi Perdana Menteri.
Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, keterangan Kit Siang diambil pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di Balai Polis Sea Park, SS2, Petaling Jaya.
“Keterangan diambil bermula jam 9.30 pagi tadi dan selesai dirakam percakapan pada jam 11 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Khamis lalu, Kit Siang berkata, polis sedang mencari beliau susulan kenyataannya di Manchester bahawa Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.
Terdahulu, Kit Siang ditemani dua anaknya Lim Guan Eng dan Lim Hui Ying serta serta beberapa pemimpin DAP ke balai polis tersebut.
Sementara itu, Rusdi mengingatkan orang ramai agar sentiasa prihatin terhadap isu sensitif dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette