KUALA LUMPUR – Jenama sukan terkemuka dari Jerman, Puma mengambil keputusan untuk menamatkan semua jenis kerjasama dengan skuad kebangsaan Israel pada tahun depan.
Menurut ketua komunikasi jenama tersebut iaitu Kerstin Neuber, keputusan tersebut diambil pada tahun lalu sebelum konflik perang antara Israel dan Hamas yang berlaku ketika ini.
“Keputusan ini diambil oleh kami atas sebab perniagaan dan tiada isu lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Puma berdepan dengan gesaan dari pengguna untuk memboikot berhubung kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).
Keputusan itu dibuat pada penghujung 2022 apabila syarikat itu memutuskan untuk melaksanakan strategi yang diberi nama fewer-bigger-better dan menerapkan strategi itu pada kempen pemasarannya.
Perubahan dibuat selepas semakan dalam senarai pasukan kebangsaan yang ditaja oleh syarikat berdasarkan faktor komersial dan penyertaan dalam kejohanan utama antarabangsa.
“Kami telah menandatangani kontrak dengan dua pasukan kebangsaan baharu yang akan kami umumkan pada 2024 di mana kontrak dengan beberapa pasukan seperti Serbia dan Israel akan tamat pada 2024.
Dunia bola sepak tidak boleh lari dari isu perang antara Hamas yang mempertahankan Palestin dan Israel yang mana beberapa pemain ternama dunia menyatakan sokongan mereka kepada rakyat Palestin.
Bekas penyerang skuad kebangsaan Perancis, Karim Benzema mendapat kritikan hebat susulan beliau secara terbuka memberikan sokongan terhadap Palestin.
Menerusi laman media sosial miliknya, Benzema menulis beliau mendoakan agar semua mangsa pencerobohan regim Zionis diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan yang dihadapi ketika ini. – Agensi