PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke masih  memperincikan draf struktur cukai untuk kenderaan elektrik (EV).

Katanya, sehingga kini terdapat beberapa perkara dalam draf berkenaan yang perlu ditambah baik.

Justeru ia memerlukan masa untuk disiapkan.

“Saya nak lihat lagi ada beberapa perkara saya tidak puas hati dengan draf tersebut.Tapi tidak akan ada kesan kepada pengguna EV yang sekarang kerana masih pengecualian cukai.  Bukan tahun ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Ujar Anthony, draf yang lengkap akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemandu EV terlebih dahulu.

“Tapi buat masa ini saya nak tambah baik draf tersebut untuk kadar yang terbaik kepada pembeli,” ujarnya.

Sebelum ini, Anthony berkata, struktur cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk EV yang lebih kompetitif disiapkan bulan depan sebagai usaha menggalakkan penggunaan kenderaan itu.

Katanya, struktur cukai jalan itu hanya akan terpakai selepas 2025 iaitu selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai jalan kepada kenderaan EV.

Sebagai rekod, Febuari tahun lalu, MOT menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan mengumumkan tawaran insentif Pengecualian Bayaran Fi LKM sepenuhnya untuk kenderaan EV bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025.

Pengecualian itu diberikan kepada kenderaan EV yang menggunakan bateri atau sel bahan api dan tidak terpakai untuk kenderaan hibrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman petrol atau diesel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast