Ibu mangsa, Mimi Julia Ismail (kanan) tidak dapat menahan sebak ketika menunjukkan gambar anak lelakinya, Muhammad Zaharif Affendi yang maut dalam kemalangan di Taman Jati, pada semalam. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2023.

IPOH – “Dua, tiga hari sebelum dia (arwah) meninggal dia suka makan tengah malam. Dia habiskan susu dalam peti ais, suka makan maggi. Jadi, saya tegur dia, kenapa makan tengah malam, tak elok,” kata Mimi Julia Ismail, 50.

Itulah luahan ibu kepada pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut dalam kemalangan di Taman Jati di sini semalam.

Katanya, tingkah laku anaknya yang suka makan malam secara tiba-tiba itu berlaku beberapa hari sebelum dia meninggal dunia.

Menurutnya, anak bongsunya itu juga sudah sebulan tidak menjejakkan kaki ke kedai makan milik mereka sekeluarga.

“Bulan ini memang (Zaharif) tak masuk kedai cuma pergi ambil duit belanja sekolah daripada ayah sahaja. Kalau tidak, sebelum pergi sekolah mesti dia sarapan pagi, balik sekolah mesti dia makan (di kedai) baru balik rumah,” katanya.

Ibu kepada empat orang anak itu ditemui MG Perak dirumahnya di Taman Chepor Sentosa di sini hari ini.

Arwah 'tiba-tiba' suka makan tengah malam
Bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin (Kanan) kelihatan sebak ketika menceritakan kembali kejadian yang menimpa anak lelakinya, Muhammad Zaharif Affendi, yang maut dalam kemalangan di Taman Jati, pada semalam. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2023.

Dalam pada itu, Mimi Julia memberitahu, anaknya juga terlalu baik dengan orang dan tidak akan menolak permintaan kawan-kawan jika mereka memerlukan bantuan.

“Arwah mempunyai minat dalam bidang permotoran. Tiap-tiap malam kawan dia datang untuk tukar minyak, tukar tayar motosikal. Alhamdullilah Allah bagi kemahiran dekat dia.

“Lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) arwah ada menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang membaiki motosikal,” katanya.

Mengimbau kejadian semalam, dia berkata, tiada siapa memberitahunya mengenai insiden itu dan hanya mendengar cakap-cakap dari pelanggan di kedai makan sahaja.

“Saya tahu sendiri (mengenai kemalangan itu) apabila mendengar pelanggan di kedai ami bercakap mengenai kemalangan menimpa anak saya,” ujarnya.

Arwah 'tiba-tiba' suka makan tengah malam
Kakak mangsa, Nur Zawanie Muhd Zamrie (kiri) ditemani abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie menceritakan kembali kejadian yang menimpa adik lelakinya, Muhammad Zaharif Affendi, yang maut dalam kemalangan di Taman Jati, pada semalam. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 DISEMBER 2023.

Dalam pada itu, kakak mangsa, Nur Zawani Muhd Zamrie, 28, berkata, sewaktu kejadian, dia menghantar anak-anaknya kepada ibunya yang sedang mengendalikan kedai makan keluarga mereka dan melihat orang ramai mengerumuni lokasi kejadian.

Dia yang pada ketika itu ingin ke tempat kerja berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian kemalangan yang menimpa adiknya oleh salah seorang yang berada di kawasan berkenaan.

“Ketika sampai di situ, saya lihat Zaharif dalam keadaan separa sedar dan masih boleh bercakap sedikit sambil menyatakan yang dia kesakitan.

“Saya adalah orang pertama yang menghubungi ambulans dan ketika itu kedengaran banyak suara mendakwa Zaharif sengaja dilanggar namun pada masa itu tumpuan utama saya adalah hanya untuk menyelamatkan nyawa adik,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, berkata, keluarganya masih dalam perbincangan sama ada untuk melantik peguam bagi menguruskan kes berkenaan.

“Memang kami bercadang hendak melantik peguam tetapi kami masih dalam perbincangan lagi tanpa sebarang keputusan muktamad setakat ini,” katanya.  – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pegawai kanan polis langgar pelajar sekolah akan direman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast