IPOH – Seorang pegawai kanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah terbabit dalam nahas yang mengorbankan pelajar lelaki berusia 17 tahun di Taman Jati di sini, hari ini ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie disahkan maut di lokasi kejadian akibat impak pelanggaran tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 44 tahun itu akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.

“Pihak polis jalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawai polis yang terlibat sekiranya mempunyai bukti kukuh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai siasatan kemalangan, Yahaya berkata, siasatan mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha.

“Penunggang motosikal yang juga pelajar Tingkatan Lima didapati meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil bedah siasat ke atas mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat daripada kemalangan jalan raya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, Yahaya meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016 884 9163.

“Kita juga mengingatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan sebarang kegusaran awam,” katanya. – MalaysiaGazette